Monday, April 27, 2009

Wanita: Kelembutan bukan kelemahan


"Isy... pompuan ni memang tak boleh harap. Suruh buat kerja semua tak boleh" rungut si Adam.

"Memang pompuan ni LEMAH. Kami tak mampu buat apa apa tanpa bimbingan lelaki" balas si Hawa pula.

Sesungguhnya, setiap kejadian Allah itu punya hikmah dan sebabnya. Dan kadang kadang mungkin menjangkaui logik akal makhlukNya. Sebab itulah apabila Allah ingin menjadikan kita, manusia di bumi ini, para Malaikat mempersoalkan tindakan Allah ini, "Kenapa Kau mahu jadikan makhluk yang akan melakukan pertumpahan darah dan kerosakan di muka bumi ini?". Allah menjawab dengan jawapan yang cukup hebat, "Sesungguhnya Aku tahu apa yang kamu tak tahu".

Jika difikirkan, samalah juga dengan penciptaan jantina, lelaki dan perempuan. Ada hikmah di sebalik kejadian kedua duanya. Masing masing punya fitrah peribadi masing masing. Lelaki dikenali sebagai golongan yang kuat, mementingkan logik dari emosi. Perempuan pula dikenali dengan kelembutan, dan emosi yang tinggi. Namun, persoalannya, bila itu keadaannya, adakah martabat perempuan itu direndahkan oleh Allah? Adakah bermakna, sesiapa yang diciptakan sebagai wanita, maka ia adalah makhluk yang LEMAH?

Sedarlah... Wanita sebenarnya bukan lemah, tetapi LEMBUT. Dan, kelembutan itu bukanlah satu kelemahan. Bahkan ia adalah lambang cantiknya dan moleknya wanita tersebut. Cuma, kadang kadang,mungkin akibat doktrin dan pemikiran sebegini bermain di fikiran wanita, wanita tidak merasakan diri mereka BERHARGA. Golongan ini lupa, bahawa sesungguhnya, di sebalik kejayaan tokoh tokoh yang hebat, punya wanita di sebaliknya.


Jannah pernah mendengar kata kata daripada seorang sahabat, tentang Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan. Mungkin masyarakat melihatnya hebat. Namun, ramai yang tidak mengetahui, di sebalik kehebatannya, dia sebenarnya ditampung dan disupport oleh seorang isteri yang sangat memahami dan hebat. Boleh rujuk buku baru, "Bidadari Dari Timur" untuk maklumat lanjut. Kita lihat Rasulullah sendiri, di awal Islam itu dibina, siapa yang sentiasa mendampingi dan menyokongnya? Sudah tentu sekali isteri yang paling disayanginya, Saidatina Khadijah. Hebatnya insan yang bernama Khadijah ini, sehinggakan dikenang oleh Nabi SAW di sepanjang hayatnya sehingga Aisyah sendiri cemburu dengannya akibat kasihnya Nabi SAW kepada Khadijah.

Jadi, adakah benar perempuan ini LEMAH? Jika perempuan tiada, lelaki juga tidak teratur hidupnya. Bahkan, mungkin lelaki juga akan menjadi LEMAH. Cuba kita bayangkan, jika Allah jadikan lelaki yang mengandung dan menyusukan anak, tak kelam kabut dunia jadinya? Sebenarnya, wanita tidak lemah, bahkan sangat berharga, cuma, mungkin mereka terlupa bahawa DIRI MEREKA SANGAT BERHARGA. Sedarlah wahai Hawa....

Akhirnya, ayuh kita menghayati nasyid dari Kumpulan DeHearty, "Wanita":

Kau digelar sebagai penyeri dunia
Hadirmu melengkap hubungan manusia
Bukan sahaja dirindui yang biasa

Malah Adam turut sunyi tanpa Hawa


Akalmu senipis bilahan rambut

Tebalkanlah ia dengan limpahan ilmu

Jua hatimu bak kaca yang rapuh

Kuatkanlah ia dengan iman yang teguh


Tercipta engkau dari rusuk lelaki

Bukan dari kaki untuk dialasi

Bukan dari kepala untuk dijunjung

Tapi dekat di bahu untuk dilindung

Dekat jua di hati untuk dikasihi

Engkaulah wanita hiasan duniawi


Mana mungkin lahirnya bayangan yang lurus elok

Jika datangnya dari kayu yang bengkok

Begitulah peribadi yang dibentuk

Didiklah wanita dengan keimanan

Bukannya harta ataupun pujian

Kelak tidak derita mengharap pada yang binasa


Engkaulah wanita istimewa


Sedarilah insan istimewa

Bahawa kelembutan bukan kelemahan

Bukan jua penghinaan dari Tuhan
Bahkan sebagai hiasan kecantikan

4 comments:

zahar ghudin said...

betul tu..
kelembutan tak leh dijadikan alasan kelemahan...

huhuhuhu...
blog jannah ni cam ada gaya blog hakem la.. hehehehe... background itam, tulisan putih, kadang2 suka tulisan merah ngan kuning... ayat pu ada gak sikit2.. ni msti hakem jd mentor dalam urusan blog ni...
huhuhuhu.

drosophilla albino said...

huhuhu....
kiranya ni memang hakem nyer article la ni.. patutpun gambar pompuan korea tu macam pernah tengok jer jadi hakem nyer computer background..
guna la gambar lain hakem....

hakem said...

xpe rr... baru kontrovesi sket pakai gambar ni... hahaha... puas akoo dok cari gambar2 yang "lembut", xbleh, nampak KOREA je.. hahaha... Azhar, jom rrr tulun akoo jadi admin blog jannah ni.. dia bz, maklumlah YB.. jadi, kita tulun la sket2... ko pon slalu je bkak akoo tengok... kena pulak ade kontrovesi ni... haha...

drosophilla albino said...

bukan taknak, tapi aku tak pandai sangat la bende2 cam ni.. aku bukan amik tau sangat hal2 luar ni.. huhuhuuhuhu...

lagi pun aku nyer ayat tak leh nak banding ngan ayat jannah la.. ayat dia lebih classs, sesuai dengan seorang YB.. ayat aku ayat tepi pasar nyer.. ayat melepaskan perasaan....